Thursday, February 02, 2006

Atok

Kalau Sultan Melaka berkehendakkan aku, adalah peminangannya satu jambatan emas dan satu jambatan perak dari Gunung Ledang ke Melaka, kuman tujuh dulang, hati nyamuk tujuh dulang, air mata anak dara setempayan, darah anakandanya semangkuk… hmm, apa lagi tok?

"Kasih sayang dan ikrar setia". Aku senyum, atok pun senyum. Kalaulah ada Sultan Melaka…

Sudah lama aku tak merasai cuti yang panjang yang riang. Cuti Chinese New Year dan Maal Hijrah kali ini baru betul-betul rasa meriah. Paling seronok sebab kali ini atok dan family pak long ada bersama. Atok yang keuzurannya selalu membataskan aktiviti kami, kali ini ikut sama bercuti. Walau tak pernah tinggal inhalernya, atok selalu senyum dan buat kami ketawa.

Paling biasa kalau atok ada, mesti tonton cerita lama-lama. Zaman atok muda-muda dulu. Kali ni atok pilih cerita Sarjan Hassan & Pendekar Bujang Lapuk. Bila tiba scene favorite, semuanya sama-sama ikut skrip; “gua tukar nama jadi Ahmad Ah Leng bin Abdul Lolah”, “fil fadang fasiru, ta’adudil fokok kayuil”. Lepas tu kami ketawa sama-sama.

Atok kata atok rasa muda kalau tengok cerita lama-lama.

Dalam kereta, memang aku paling suka nyanyi lagu kuat-kuat. Adik pun suka ikut sama. Biar pitching lari, biar tempo berterabur, biar lirik pun tak ingat, kami tetap suka nyanyi kuat-kuat, kadang-kadang lagi kuat dari bunyi radio. Bila atok ada jugak dalam kereta, tiba-tiba atok bunyikan “tong, tong, tong” kuat-kuat dengan mulut dia. Atok kata atok tak tahu nyanyi lagu tu, jadi atok nak jadi bunyi drum je. Kami ketawa sama-sama. Lepas tu atok nyanyi lagu yang kami pulak tak tahu. Aku perlahankan suara radio, nak dengar suara atok nyanyi. Atok kata itu lagu famous masa atok muda dulu, tapi kami tak tahu.

Atok kata atok rasa muda kalau nyanyi lagu tu.

Ameen, baru umur 10 tahun, memang lasak budaknya. Di rumah aku, dia nak main ‘lawan-lawan’ dengan aku. Tumbuk dan tendang main-main, siapa jatuh dia yang kalah. Ameen tarik kaki aku, tapi aku tak jatuh, tak juga boleh buat-buat jatuh, sebab aku lagi besar dari dia, lagi berat, jadi aku tak jatuh dan tak kalah. Ameen tumbuk lagi, aku mengelak. Habis semua silat dia keluarkan. Akhir sekali aku tolak pelipat lutut dia dan dia terbaring, aku dah menang. Aku duduk atas dia, buat muka juara. Atok tengok kami lawan. Atok kata “tolak dia lagi Ameen, pusingkan kaki dia”. Atok juara silat dulu, sebab moyang kami memang guru silat.

Atok kata atok rasa muda kalau mula bersilat lagi.

Dan kali terakhir itu, sebelum salam tangan atok, atok pesan suruh jaga diri baik-baik, kerja betul-betul, jaga keluarga dan cari suami yang baik. Atok kata atok nak timang cicit sebelum tutup mata, aku kata atok mengada-ngada. Tak tahu kenapa kali itu hati rasa sangat sayu. Aku cium tangan atok lama-lama. Aku kata aku sayang atok, atok kata dia tahu. Kami senyum sama-sama.

Atok kata dia dah tua.

1 comment:

Anonymous said...

Kalau jadinya Raja Nor Jan itu sebagai Sultan Melaka, maka adalah Sultan Melaka adanya.

Kalau Sultan Melaka ada...apesal? ha? ha?