Thursday, May 10, 2007

Ceritera

Saya terlalu ingin menceritakan hal ini kepada Hafez, seperti selalu. Dia yang baik hati selalu juga melayan cerita saya yang entah apa-apa. Hari ini saya masih juga ingin sampaikan cerita ini pada Hafez. Cuma saya harap Hafez temui cerita ini di sini untuk kali ini.

Namanya En. Rahim, berumur 30-an dan bekerja dengan Syarikat XYZ. Beberapa hari lalu dia menghubungi saya di pejabat mengenai bayaran tertunggak yang belum dijelaskan lagi oleh syarikat saya dan beberapa dokumen yang perlu disertakan. Saya dengan penuh malu memaklumkan pada dia yang segalanya telahpun sedia, cuma saya belum berkesempatan menghantar dokumen dan bayaran itu kepada syarikatnya. Dia dengan tenangnya memberitahu yang dia akan datang sendiri ke pejabat saya. Dan janjinya itu membuatkan saya rasa amat lega.

En Rahim yang kemas berbaju kemeja biru dan berkaca mata (saya tak sempat melihat warna seluarnya) selesa duduk di hadapan meja saya setelah dipelawa. Meja saya penuh dan berselerak dengan 4 buah fail yang terbuka. Tisu terpakai juga ada beberapa helai di atas key-board. Sepapan Clarinase yang tinggal berbaki 2 biji betul-betul di hadapan En. Rahim. Dia senyum sahaja semasa saya meminta maaf kerana terlupa di mana letaknya dokumen yang perlu saya serahkan padanya.

Saya selak setiap fail di hadapan saya. Di atas tray juga saya selak satu persatu. Dokumen itu masih belum dijumpai. Saya mohon maaf padanya berkali-kali, maaf kerana tidak bersedia dengan kedatangannya, maaf kerana membuat dia menunggu lama, maaf kerana saya yang cemerkap ini telah terjatuhkan alat tulis padanya. En. Rahim senyum sahaja. Akhir sekali setelah membuka laci buat kali ke dua, barulah saya temui dokumen itu di sana.

Dengan ekor mata, saya tahu En. Rahim menuruti saya dengan renungannya. Dia memerhatikan saya semasa saya resah menggeledah seluruh pejabat. Mungkin dia menyampah dengan carakerja saya, mungkin dia hairan mengapa saya tidak memakai kasut atau mungkin dia sudah terlalu bosan. Saya malu dengan muka yang sembab dengan hidung kemerahan dan mata yang sedikit bengkak. Saya kurang sihat sedikit ditambah pula dengan prestasi perasaan yang kurang memuaskan, muka saya memang tidak layak untuk dikategorikan sebagai comel.

Setelah saya semak ala kadar dan serahkan dokumen itu, En. Rahim memandang tepat ke mata saya. Dia senyum sedikit tapi saya tidak menyambutnya. Lalu dia berkata sesuatu yang saya sangat perlukan waktu ini. “..you are going to be fine..”

Dan ketika ayat itu dihabiskan, saya rasa ada perasaan halus yang hangat mengalir dari kepala ke kaki saya. Seperti perasaan sewaktu dibungkus tuala bersih dan panas setelah seharian lencun dek air hujan dan lumpur. Saya rasa selesa, dan saya membalas secantik mungkin senyumnya tadi. Serasa mahu sahaja saya salam dan cium tangannya untuk mengucapkan terima kasih (oh, saya tahu saya tak boleh menyentuh dia). Dan ketika dia mengucap salam perpisahan, hangatnya ucapan itu masih kekal bersama saya.

___________________

Dan saya juga terlalu ingin untuk mendengarkan ayat “Love means letting go” dari seseorang. Air mata masih lagi mengenangi kelopak mata.